Isu dadah di sekolah perlu dinoktah
12 Jun 2016
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan perlu membawa isu
penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah ke Kabinet untuk tindakan
segera kerana ia dilihat semakin serius. Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata isu tersebut bukan masalah
baharu dan ia memerlukan perhatian serius daripada pihak berkuasa dan
masyarakat. "Isu ini perlu dinoktahkan. Generasi muda khasnya pelajar
dikenal pasti sebagai kumpulan sasar sindiket-sindiket dadah termasuk sebagai
runner (jual dadah) selain mempengaruhi mereka menjadi keldai dadah dan
sebagainya.
"Jadi saya rasa ia wujud telah lama namun berterusan
sehingga hari ini. Saya cadangkan Menteri berkaitan bawa perkara ini ke Kabinet
untuk ditangani secara mendalam dan mendapat perhatian lebih serius," katanya
kepada Bernama hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai masalah
dadah di kalangan pelajar sekolah yang kini berada pada tahap amat
membimbangkan. Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata
Kementerian Pendidikan kini memberikan lebih tumpuan kepada sekolah kategori C
dalam usaha memastikan penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar dapat
dibanteras.
Sekolah kategori A merupakan sekolah yang mempunyai rekod
disiplin yang baik, kategori B pula merujuk kepada sekolah yang mempunyai
sedikit kes disiplin manakala kategori C adalah sekolah yang mempunyai banyak
kes disiplin melibatkan ponteng dan penyalahgunaan dadah. Lam Thye juga berkata
peranan pihak berkuasa khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diperluas dan
dipertingkat termasuk ke sekolah bagi mengenal pasti dalang utama
penyalahgunaan dadah. Beliau juga meminta pihak sekolah tampil berkongsi
maklumat dengan pihak berkuasa jika terdapat pelajar yang terlibat dengan
masalah penyalahgunaan dadah. Katanya jika sekolah sendiri gagal berkongsi
maklumat atau mengambil tindakan sewajarnya, pelajar yang terlibat dalam gelaja
dadah tidak dapat diselamatkan kerana mereka tidak mempunyai ketahanan diri
yang tinggi, lemah dan tidak tahu jalan keluar untuk permasalahan tersebut.
"Ada pelajar bermula dengan merokok, kemudian
berjinak-jinak dengan dadah sama ada rela, paksa, suka-suka atau terpengaruh
dengan tawaran dan imbuhan. Kemudian menyertai sindiket atau kongsi gelap.
Semuanya bermula di sekolah.
"Kalau disiplin tidak dapat diperketatkan dalam hal
membanteras dadah di sekolah, ia akan menjadi masalah besar di luar sekolah
hingga ke institusi keluarga dan masyarakat dalam jangka masa panjang,"
katanya. Sementara itu, penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar berpendapat
antara punca pelajar terlibat dengan dadah ialah institusi kekeluargaan yang
porak-peranda, pengaruh rakan sekeliling, lambakan bahan dadah, dan Persatuan
Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang tidak ambil peduli. "Di peringkat sekolah,
perlu ada pakar dalam bidang pemulihan kes dadah yang bertindak sebagai
kaunselor bagi membantu memulihkan pelajar yang terlibat dalam dadah. – Bernama
Sehubungan itu, pelbagai langkah drastik perlu
direncana dan dilaksanakan untuk memerangi ancaman dadah. Dalam usaha untuk
membendung masalah yang semakin gawat ini, ibu bapa memainkan peranan yang
cukup penting untuk memastikan anak-anak mereka tidak turut terjebak dalam
masalah ini. Mereka perlu meluangkan masa secukupnya untuk bersama anak-anak.
Sikap ambil berat dan bertanggungjawab serta penyayang ini mampu mengelakkan
remaja dari terjerumus ke dalam maslah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa juga
perlu menyediakan segala keperluan dan pendidikan baik yang formal mahupun yang
tidak formal dalam usaha membendung anak-anak mereka dari terjebak ke perangkap
penyalahgunaan dadah. Anak-anak hendaklah diberikan pendidikan agama secukupnya
serta diawasi setiap pergerakan dan pergaulan mereka sejak dari kecil lagi.
Sesungguhnya pembentukan sahsiah remaja banyak ditentukan oleh institusi
kekeluargaan.
Pendidikan
pencegahan penyalahgunaan dadah di sekolah juga merupakan langkah awal untuk
membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Seandainya tidak
dibendung, masalah ini akan terus mengancam dan menggugat kesejahteraan negara.
Pendidikan pencegahan pada dasarnya bertujuan untuk mendidik di samping
memberikan maklumat untuk menyedarkan remaja mengenai bahayanya penyalahgunaan
dadah sebelum ianya terlambat. Sudah tentu kita tidak ingin melihat remaja
terjerumus ke dalam jurang kehinaan ini. Peranan pihak sekolah dalam
membenteras masalah ini amatlah penting. Antara program yang boleh dilaksanakan
ialah Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR). Program ini diatur untuk
memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai risiko penyalahgunaan dadah dan
secara tidak langsung mendidik mereka untuk menjauhi najis dadah. Oleh yang
demikian, peranan pihak sekolah amat penting dalam menerapkan budaya remaja
benci dadah dan seterusnya membantu golongan ini menjauhi najis dadah sebelum
ia menjadi parah.
Di samping
itu, pihak kerajaan dan juga badan bukan kerajaan boleh memainkan peranan dalam
usaha mengurangkan penyalahgunaan dadah. Antaranya ialah melalui program Rakan
Muda, kem motivasi dan lain-lain program yang meliputi pelbagai aktiviti. Hal
ini demikian kerana melalui kem-kem ini para remaja dapat memenuhi masa
senggang mereka dengan aktiviti lebih berfaedah. Pihak kerajaan juga boleh
mengadakan kempen anti-dahad dan menyiarkannya melalui media massa.
Undang-undang dan hukuman bagi kesalahan penyalahgunaan dadah dan mengedar
dadah hendaklah diketatkan lagi bagi mengelakkan masalah ini terus berleluasa.
Agensi yang ditubuhkan seperti Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) perlu
memperkemaskan jentera mereka memantau bekas penagih agar mereka tidak kembali
menagih dadah kembali.
Selain itu,
kesedaran diri remaja penting untuk menjauhi najis dadah. Kesedaran diri ini
penting untuk membentuk minda yang positif agar sentiasa membuat sesuatu dengan
pemikiran yang rasional. Mereka hendaklah sentiasa diberikan ingatan tentang
pentingnya kehidupan pada masa hadapan. Remaja kini terlalu terdedah dengan
pergaulan sosial yang tidak sihat seterusnya menjerumuskan mereka ke dalam
kancah penyalahgunaan dadah ini. Oleh sebab itu, kesedaran dalam diri amat
penting. Mereka perlu tahu membezakan yang baik dengan yang buruk. Tidak perlu
mengikut telunjuk kawan kerana 'ikut hati mati ikut rasa binasa'. Rakan yang
berkualiti juga adalah tunggak dalam membantu diri remaja menjadi berkualiti
juga.
Konklusinya,
semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat mahupun kerajaan perlu
berganding bahu memerangi gejala penyalahgunaan dadah ini. Oleh itu, marilah
kita bersama-sama berusaha memerangi dadah kerana dadah adalah musuh utama
negra dan dadah boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Sebagai
pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara, biarlah kita hidup bahagia tanpa
dadah. Janganlah disebabkan 'nila setitik, rosak susu sebelanga' kerana negara
kita adalah contoh dalam kalangan negara Islam. Kita tidak mahu masalah
penyalahjgunaan dadah ini mencemarkan nama baik bangsa amnya dan negara
khususnya.
Rujukan:
post by Cikgu Wajimin