Penjara, denda jika jual rokok
kepada remaja bawah 18 tahun
August 18, 2016
Berita
Utama, Utama 0
PUTRAJAYA, Khamis – Kementerian Kesihatan
akan mengambil tindakan tegas, termasuk penjara dan denda jika sabit kesalahan
terhadap peniaga yang masih berdegil menjual rokok kepada remaja di bawah umur
18 tahun.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan
Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, pihaknya memandang serius
perkara itu dan tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya bagi
tujuan melindungi orang belum dewasa daripada bahaya tabiat merokok.
Beliau berkata, pihak penguatkuasaan
kementerian telah menjalankan operasi memeriksa premis yang menjual rokok
kepada remaja bawah umur selepas risikan sebulan di Negeri Sembilan, Melaka,
Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khamis lalu. Beliau berkata, 21 kedai runcit dan kedai
tepi jalan didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004
dan merekodkan 13 kesalahan berkaitan dengan penjualan rokok di bawah 18 tahun
termasuk menjual secara sebatang-sebatang. “Terdapat beberapa premis juga gagal
mempamerkan tanda larangan menjual rokok kepada orang di bawah umur malah
menjual rokok di bawah harga minimum,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, kertas siasatan telah
diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk mendakwa 13 peniaga berkenaan. Dalam pada itu, katanya, enam remaja yang
berpakaian sekolah dan memiliki rokok di tangan mereka turut ditahan dalam
operasi itu dan telah dirujuk kepada sekolah masing-masing untuk tindakan
lanjut. – Bernama
Antara faktor-faktor utama golongan remaja
terlibat dengan gejala merokok ialah;
(i) Faktor sosial
Merokok adalah tabiat yang dipelajari. Ia
dianggap sebagai simbol bagi kematangan, kehebatan dan daya tarik kepada
golongan berlainan jantina. Kebanyakan remaja mula merokok pada usia lebih muda
seawal 10 tahun. Rakan sebaya menjadi tempat untuk interaksi sosial dan
mengatasi ketakutan, masalah dan kekeliruan. Rakan sebaya juga menjadi tempat
mencuba sesuatu benda baru dan di luar daripada batas peraturan. Selain itu, mengimitasi
atau meniru tabiat orang dewasa dan rakan sebaya supaya diterima oleh “geng”
dan rakan sebaya. Hal ini demikian kerana golongan remaja takut diejek atau
diperlekeh oleh kawan-kawan menyebabkan remaja mengambil risiko mencuba merokok.
Bermula sebagai perokok sosial akhirnya menjadi perokok tegar akibat ketagihan
nikotin. Dengan turut sama merokok, remaja memperoleh pengesahan sosial dan
interaksi sesama rakan sekumpulan.
(ii)Pengaruh media massa dan idola
Usia remaja merupakan tempoh individu mencari
identiti diri. Pengaruh media massa yang menyiarkan iklan dan cerita yang
mengambarkan hero seorang perokok yang hebat memberi gambaran salah kepada
remaja bahawa tabiat merokok itu ‘cool’ dan bergaya serta lambang kehebatan.Remaja
biasanya akan menjadikan selebriti atau artis sama ada penyanyi, pelakon
mahupun pengacara sebagai idola. Mereka ingin menjadi seperti idola dengan
meniru apa yang digayakan atau apa yang dilakukan oleh idola mereka.
(iii) Faktor Persekitaran
Merokok telah menjadi sebahagian daripada
budaya yang diterima oleh masyarakat di Malaysia.
Ini menjadikan merokok tidak disifatkan sebagai suatu perbuatan yang salah
dalam pandangan masyarakat. Ini memberi
tanggapan kepada remaja bahawa tabiat merokok adalah sesuatu yang baik dan
menjadikan naluri ingin mencuba semakin tinggi dalam diri mereka. Rokok mudah
dibeli dan dibawa serta boleh didapati di mana-mana kedai atau kios tanpa
mengira tempat.
Amalan merokok boleh mendatangkan pelbagai
masalah kesihatan. Sejak belakangan ini budaya merokok dalam kalangan pelajar
sekolah semakin serius Budaya negatif ini membimbangkan ibu bapa dan masyarakat
kerana amalan ini akan menjejaskan kesihatan diri pelajar berkenaan dan membawa
pelbagai kesan sosial sampingan. Oleh itu, langkah-langkah yang efektif perlu
diambil dengan segera untuk menangani budaya merokok dalam kalangan pelajar
sekolah agar tidak menjadi barah masyarakat.
Langkah yang paling berkesan untuk menangani
budaya merokok dalam kalangan pelajar ialah kesedaran diri pelajar terbabit. Pelajar
terbabit perlu disedarkan bahawa amalan merokok akan memudaratkan kesihatan
diri mereka. Pelajar yang terdedah kepada pengetahuan akan bahaya rokok akan
mengelakkan diri daripada merokok. Pelajar perlu sedar bahawa amalan merokok
boleh mendedahkan diri mereka kepada penyakit barah paru-paru, pankreas, kanser
mulut dan gusi dan lain-lain kesan sampingan terhadap kesihatan. Jelaslah
bahawa kesedaran diri untuk “tak nak” merokok amat berkesan untuk menangani
budaya sia-sia yang mengundang malapetaka kepada diri sendiri ini.
Langkah kedua untuk menangani budaya merokok
dalam kalangan pelajar ialah melalui peranan ibu bapa. Ibu bapa dapat memantau
aktiviti dan pergerakan anak-anak mereka untuk mengelakkan anak-anak mereka merokok.
Ibu bapa juga hendaklah mengelakkan diri daripada merokok kerana amalan ini
akan dicontohi oleh anak-anak mereka seperti bapa borek anak rintik. Sebagai
contoh, ibu bapa mestilah memastikan wang belanja yang diberikan kepada
anak-anak digunakan untuk membeli makanan atau keperluan yang sepatutnya dan
bukannya untuk membeli rokok. Tegasnya, ibu bapa berperanan penting untuk
mengawal dan mengelakkan anak-anak mereka daripada menjadi perokok.
Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan
untuk mengelakkan pelajar daripada mengamalkan budaya merokok. Sekolah sering
mengadakan kempen kesedaran bahaya merokok dan ceramah serta pameran tentang
bahaya rokok kepada pelajar Pihak sekolah juga sentiasa mengenakan hukuman
berat dan tindakan yang tegas sekiranya terdapat pelajar yang merokok . Sebagai
contoh, pelajar yang ditangkap kerana merokok akan didenda atau diberikan
rawatan lanjutan untuk menghentikan amalan berisiko tinggi kepada kesihatan ini.
Konklusinya, kesedaran diri akan bahaya
merokok, peranan ibu bapa dan peranan pihak sekolah amat berkesan dalam usaha
membendung budaya merokok dalam kalangan pelajar. Semua pihak mestilah
berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menangani isu merokok dalam
kalangan pelajar kerana pelajar hari ini aset negara yang sangat berharga untuk
memajukan negara pada masa depan. Semoga hasrat negara untuk melahirkan remaja
yang cergas dan berfikiran positif akan dapat direalisasikan sepenuhnya
menjelang tahun 2020. Jalanilah hidup sihat tanpa rokok dan katakan “tak nak”
merokok.
Rujukan :
Anggaran Penduduk Mengikut Kumpulan Umur dan
Jantina Malaysia 2010-2020, Jabatan Perangkaan Malaysia
Bronfenbrenner, U., & Morris, P. A.
(1998). The ecology of developmental processes. Global Youth Tobacco Survey
(GYTS) Malaysia 2009
No comments:
Post a Comment