Friday, 6 October 2017



Empat pelajar disyaki terbabit gengsterisme ditahan di Pulau Pinang
Kongsi artikel

GEORGETOWN: Empat pelajar dari beberapa sekolah menengah di sini ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes peras ugut dan membelasah pelajar lain.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mereka yang berusia antara 15 dan 18 tahun ditahan di Persiaran Tembaga dan Jalan Sungai Dua pada Rabu lepas juga disyaki menganggotai pertubuhan kongsi gelap.

"Tiga daripada mereka ditahan reman selama empat hari manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis kerana dia perlu menduduki ujian di sekolahnya hari ini," katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata, kes seumpama itu adalah yang pertama tahun ini yang melibatkan salah laku gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah dan setakat ini dua laporan telah diterima.

Jumaat lepas seorang pelajar tingkatan tiga membuat laporan mendakwa dia dipaksa menyertai satu pertubuhan kongsi gelap oleh suspek serta diperas ugut untuk membayar wang perlindungan sebanyak RM4 sebulan sejak Disember tahun lepas.

Mangsa juga mendakwa diugut rakan sebayanya itu supaya membayar RM400 sebagai wang tebusan untuk keluar daripada kumpulan berkenaan.

Seorang pelajar tingkatan satu turut membuat laporan mendakwa dibelasah tiga orang pelajar termasuk seorang pelajar perempuan di sebuah kedai makan berdekatan sekolahnya di Sungai Nibong pada 6 Ogos lepas.

Abdul Rahim berkata, pihak polis memandang serius kegiatan merekrut pelajar sekolah untuk menyertai kumpulan tertentu bertujuan menimbulkan kekacauan dan l mengakui terdapat individu yang menyasar pelajar daripada bekas sekolah mereka untuk kegiatan itu.
"Polis telah mengenal pasti geng-geng terlibat dan sedang mengesan pergerakan mereka untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 31 kes bunuh dilapor di negeri ini sejak awal Januari hingga semalam dengan 20 daripadanya melibatkan warga asing. - BERNAMA

Masalah disiplin pelajar merujuk kepada perbuatan salah laku yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Menurut kajian yang dijalankan, antara punca utama kemerosotan disiplin pelajar ialah faktor diri pelajar, institusi kekeluargaan, persekitaran dan sekolah. Kemerosotan disiplin pelajar yang berpunca daripada faktor diri pelajar boleh dibahagikan kepada dua aspek, iaitu sikap diri pelajar sendiri dan pengaruh rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya ke atas diri pelajar memang diakui amat kuat. Perkembangan kongsi gelap atau kes buli dan peras ugut di kebanyakan sekolah menengah di seluruh negara berpunca daripada keterlibatan pelajar dalam kumpulan sebaya.

Kemerosotan disiplin pelajar juga berpunca daripada latar belakang keluarga pelajar sendiri. Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan institusi keluarga yang goyang merupakan salah satu punca utama pelajar terlibat dalam salah laku di sekolah. Ini kerana sesetengah pelajar terpaksa bekerja untuk meringankan beban keluarga. Keadaan hidup yang susah ini menyebabkan pelajar alpa akan pentingnya pelajaran. Ada di kalangan mereka mempunyai pandangan yang negatif terhadap persekolahan. Sebaliknya, bagi pelajar yang mewah pula, mereka terlalu mudah mendapat wang. Ini menyebabkan mereka bebas melakukan apa sahaja yang diingini seperti menghabiskan masa berpeleseran di tempat-tempat hiburan dan melepak serta membeli-belah. Hal ini menyemarakkan lagi gejala ponteng sekolah, antara kes salah laku pelajar yang paling utama.

Pengaruh persekitaran juga merupakan antara faktor wujudnya salah laku di kalangan pelajar. Tayangan filem yang diimport khususnya dari Barat yang mengandungi elemen yang tidak bermoral, berunsur ganas dan seks boleh mempengaruhi pemikiran dan membangkitkan keinginan pelajar untuk meniru perbuatan yang dipaparkan melalui rancangan televisyen atau filem. Hal ini sedikit sebanyak menjadi punca keterlibatan pelajar dalam kes-kes salah laku di sekolah.

Pengaruh budaya hidup moden, terutamanya di bandar besar merupakan bentuk pengaruh negatif yang datang ke dalam hidup pelajar. Oleh itu, terdapat percanggahan di antara budaya sekolah yang bersifat murni dengan budaya di luar sekolah yang memberi pengaruh besar serta mencabar tingkah laku dan perlakuan pelajar. Pertentangan ini boleh menyebabkan berlakunya salah laku pelajar. Kemerosotan disiplin di kalangan pelajar tidak boleh dipandang ringan malah perlu diberi perhatian yang serius. Antara langkah menanganinya ialah melalui institusi keluarga. Institusi keluarga merupakan institusi asas sebelum pelajar menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Keluarga merupakan pihak yang bertanggungjawab memperkenalkan nilai- nilai murni dalam kehidupan anak-anak. Biasanya, pelajar yang berasal daripada keluarga yang harmoni dan mendapat kasih sayang adalah lebih bertanggungjawab serta kurang terbabit dalam kes salah laku di sekolah.

Selain itu, pihak sekolah juga hares menangani kemerosotan disiplin pelajar dengan bijak dan bersungguh-sungguh. Pihak pentadbir sekolah perlu memperketat pelaksanaan peraturan sekolah kepada mereka yang terlibat supaya menjadi teladan kepada pelajar lain dan memberi kuasa sepenuhnya kepada semua guru untuk melaksanakan peraturan sekolah. Pihak pentadbir sekolah juga mesti bekerjasama sepenuhnya dengan PIBG agar kedua-dua pihak sentiasa prihatin mengenai masalah disiplin pelajar. Di samping itu, pihak pentadbir sekolah perlu sentiasa menjalankan kempen ‘Sekolah Penyayang’, `Sekolahku Rumahku’ dan ‘Disiplin Sifar’ secara berterusan untuk menanam kesedaran dalam diri pelajar tentang betapa pentingnya disiplin kepada manusia. Guru pula harus mempunyai kesedaran yang mendalam akan tanggungjawab mereka. Guru bukan sahaja sekadar mengajar dan menghabiskan sukatan pelajaran yang diberi, sebaliknya harus peka mengenai perkembangan murid di dalam atau di luar kelas.

Kesimpulannya, gejala salah laku dan kemerosotan disiplin pelajar akan berterusan sekiranya pihak yang terlibat enggan berganding bahu untuk mengorak langkah bersama menangani masalah ini.

Rujukan:

post by cikgu Wajimin

1 comment:

  1. How to make money from online betting - Work Tomake Money
    How to make money from online betting. Find 바카라 out how to make money งานออนไลน์ from deccasino online betting and what different ways to do it.

    ReplyDelete