Friday, 6 October 2017



Isu dadah di sekolah perlu dinoktah
12 Jun 2016

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan perlu membawa isu penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah ke Kabinet untuk tindakan segera kerana ia dilihat semakin serius. Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata isu tersebut bukan masalah baharu dan ia memerlukan perhatian serius daripada pihak berkuasa dan masyarakat. "Isu ini perlu dinoktahkan. Generasi muda khasnya pelajar dikenal pasti sebagai kumpulan sasar sindiket-sindiket dadah termasuk sebagai runner (jual dadah) selain mempengaruhi mereka menjadi keldai dadah dan sebagainya.

"Jadi saya rasa ia wujud telah lama namun berterusan sehingga hari ini. Saya cadangkan Menteri berkaitan bawa perkara ini ke Kabinet untuk ditangani secara mendalam dan mendapat perhatian lebih serius," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai masalah dadah di kalangan pelajar sekolah yang kini berada pada tahap amat membimbangkan. Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan kini memberikan lebih tumpuan kepada sekolah kategori C dalam usaha memastikan penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar dapat dibanteras.

Sekolah kategori A merupakan sekolah yang mempunyai rekod disiplin yang baik, kategori B pula merujuk kepada sekolah yang mempunyai sedikit kes disiplin manakala kategori C adalah sekolah yang mempunyai banyak kes disiplin melibatkan ponteng dan penyalahgunaan dadah. Lam Thye juga berkata peranan pihak berkuasa khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diperluas dan dipertingkat termasuk ke sekolah bagi mengenal pasti dalang utama penyalahgunaan dadah. Beliau juga meminta pihak sekolah tampil berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa jika terdapat pelajar yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah. Katanya jika sekolah sendiri gagal berkongsi maklumat atau mengambil tindakan sewajarnya, pelajar yang terlibat dalam gelaja dadah tidak dapat diselamatkan kerana mereka tidak mempunyai ketahanan diri yang tinggi, lemah dan tidak tahu jalan keluar untuk permasalahan tersebut.

"Ada pelajar bermula dengan merokok, kemudian berjinak-jinak dengan dadah sama ada rela, paksa, suka-suka atau terpengaruh dengan tawaran dan imbuhan. Kemudian menyertai sindiket atau kongsi gelap. Semuanya bermula di sekolah.
"Kalau disiplin tidak dapat diperketatkan dalam hal membanteras dadah di sekolah, ia akan menjadi masalah besar di luar sekolah hingga ke institusi keluarga dan masyarakat dalam jangka masa panjang," katanya. Sementara itu, penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar berpendapat antara punca pelajar terlibat dengan dadah ialah institusi kekeluargaan yang porak-peranda, pengaruh rakan sekeliling, lambakan bahan dadah, dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang tidak ambil peduli. "Di peringkat sekolah, perlu ada pakar dalam bidang pemulihan kes dadah yang bertindak sebagai kaunselor bagi membantu memulihkan pelajar yang terlibat dalam dadah. – Bernama

Sehubungan itu, pelbagai langkah drastik perlu direncana dan dilaksanakan untuk memerangi ancaman dadah. Dalam usaha untuk membendung masalah yang semakin gawat ini, ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting untuk memastikan anak-anak mereka tidak turut terjebak dalam masalah ini. Mereka perlu meluangkan masa secukupnya untuk bersama anak-anak. Sikap ambil berat dan bertanggungjawab serta penyayang ini mampu mengelakkan remaja dari terjerumus ke dalam maslah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa juga perlu menyediakan segala keperluan dan pendidikan baik yang formal mahupun yang tidak formal dalam usaha membendung anak-anak mereka dari terjebak ke perangkap penyalahgunaan dadah. Anak-anak hendaklah diberikan pendidikan agama secukupnya serta diawasi setiap pergerakan dan pergaulan mereka sejak dari kecil lagi. Sesungguhnya pembentukan sahsiah remaja banyak ditentukan oleh institusi kekeluargaan.

     Pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah di sekolah juga merupakan langkah awal untuk membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Seandainya tidak dibendung, masalah ini akan terus mengancam dan menggugat kesejahteraan negara. Pendidikan pencegahan pada dasarnya bertujuan untuk mendidik di samping memberikan maklumat untuk menyedarkan remaja mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah sebelum ianya terlambat. Sudah tentu kita tidak ingin melihat remaja terjerumus ke dalam jurang kehinaan ini. Peranan pihak sekolah dalam membenteras masalah ini amatlah penting. Antara program yang boleh dilaksanakan ialah Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR). Program ini diatur untuk memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai risiko penyalahgunaan dadah dan secara tidak langsung mendidik mereka untuk menjauhi najis dadah. Oleh yang demikian, peranan pihak sekolah amat penting dalam menerapkan budaya remaja benci dadah dan seterusnya membantu golongan ini menjauhi najis dadah sebelum ia menjadi parah.

     Di samping itu, pihak kerajaan dan juga badan bukan kerajaan boleh memainkan peranan dalam usaha mengurangkan penyalahgunaan dadah. Antaranya ialah melalui program Rakan Muda, kem motivasi dan lain-lain program yang meliputi pelbagai aktiviti. Hal ini demikian kerana melalui kem-kem ini para remaja dapat memenuhi masa senggang mereka dengan aktiviti lebih berfaedah. Pihak kerajaan juga boleh mengadakan kempen anti-dahad dan menyiarkannya melalui media massa. Undang-undang dan hukuman bagi kesalahan penyalahgunaan dadah dan mengedar dadah hendaklah diketatkan lagi bagi mengelakkan masalah ini terus berleluasa. Agensi yang ditubuhkan seperti Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) perlu memperkemaskan jentera mereka memantau bekas penagih agar mereka tidak kembali menagih dadah kembali.

     Selain itu, kesedaran diri remaja penting untuk menjauhi najis dadah. Kesedaran diri ini penting untuk membentuk minda yang positif agar sentiasa membuat sesuatu dengan pemikiran yang rasional. Mereka hendaklah sentiasa diberikan ingatan tentang pentingnya kehidupan pada masa hadapan. Remaja kini terlalu terdedah dengan pergaulan sosial yang tidak sihat seterusnya menjerumuskan mereka ke dalam kancah penyalahgunaan dadah ini. Oleh sebab itu, kesedaran dalam diri amat penting. Mereka perlu tahu membezakan yang baik dengan yang buruk. Tidak perlu mengikut telunjuk kawan kerana 'ikut hati mati ikut rasa binasa'. Rakan yang berkualiti juga adalah tunggak dalam membantu diri remaja menjadi berkualiti juga.

    Konklusinya, semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat mahupun kerajaan perlu berganding bahu memerangi gejala penyalahgunaan dadah ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha memerangi dadah kerana dadah adalah musuh utama negra dan dadah boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Sebagai pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara, biarlah kita hidup bahagia tanpa dadah. Janganlah disebabkan 'nila setitik, rosak susu sebelanga' kerana negara kita adalah contoh dalam kalangan negara Islam. Kita tidak mahu masalah penyalahjgunaan dadah ini mencemarkan nama baik bangsa amnya dan negara khususnya.
   

Rujukan:



post by Cikgu Wajimin

No comments:

Post a Comment