Friday, 6 October 2017

Penjara, denda jika jual rokok kepada remaja bawah 18 tahun
August 18, 2016 Berita Utama, Utama 0
Description: remaja-perempuan-merokok 

PUTRAJAYA, Khamis – Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas, termasuk penjara dan denda jika sabit kesalahan terhadap peniaga yang masih berdegil menjual rokok kepada remaja di bawah umur 18 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya bagi tujuan melindungi orang belum dewasa daripada bahaya tabiat merokok.

Beliau berkata, pihak penguatkuasaan kementerian telah menjalankan operasi memeriksa premis yang menjual rokok kepada remaja bawah umur selepas risikan sebulan di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khamis lalu. Beliau berkata, 21 kedai runcit dan kedai tepi jalan didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan merekodkan 13 kesalahan berkaitan dengan penjualan rokok di bawah 18 tahun termasuk menjual secara sebatang-sebatang. “Terdapat beberapa premis juga gagal mempamerkan tanda larangan menjual rokok kepada orang di bawah umur malah menjual rokok di bawah harga minimum,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk mendakwa 13 peniaga berkenaan. Dalam pada itu, katanya, enam remaja yang berpakaian sekolah dan memiliki rokok di tangan mereka turut ditahan dalam operasi itu dan telah dirujuk kepada sekolah masing-masing untuk tindakan lanjut. – Bernama
 
Antara faktor-faktor utama golongan remaja terlibat  dengan gejala merokok ialah;

(i) Faktor sosial

 Merokok adalah tabiat yang dipelajari. Ia dianggap sebagai simbol bagi kematangan, kehebatan dan daya tarik kepada golongan berlainan jantina. Kebanyakan remaja mula merokok pada usia lebih muda seawal 10 tahun. Rakan sebaya menjadi tempat untuk interaksi sosial dan mengatasi ketakutan, masalah dan kekeliruan. Rakan sebaya juga menjadi tempat mencuba sesuatu benda baru dan di luar daripada batas peraturan. Selain itu, mengimitasi atau meniru tabiat orang dewasa dan rakan sebaya supaya diterima oleh “geng” dan rakan sebaya. Hal ini demikian kerana golongan remaja takut diejek atau diperlekeh oleh kawan-kawan menyebabkan remaja mengambil risiko mencuba merokok. Bermula sebagai perokok sosial akhirnya menjadi perokok tegar akibat ketagihan nikotin. Dengan turut sama merokok, remaja memperoleh pengesahan sosial dan interaksi sesama rakan sekumpulan.

(ii)Pengaruh media massa dan idola 

Usia remaja merupakan tempoh individu mencari identiti diri. Pengaruh media massa yang menyiarkan iklan dan cerita yang mengambarkan hero seorang perokok yang hebat memberi gambaran salah kepada remaja bahawa tabiat merokok itu ‘cool’ dan bergaya serta lambang kehebatan.Remaja biasanya akan menjadikan selebriti atau artis sama ada penyanyi, pelakon mahupun pengacara sebagai idola. Mereka ingin menjadi seperti idola dengan meniru apa yang digayakan atau apa yang dilakukan oleh idola mereka.

(iii) Faktor Persekitaran

Merokok telah menjadi sebahagian daripada budaya yang diterima oleh masyarakat di  Malaysia. Ini menjadikan merokok tidak disifatkan sebagai suatu perbuatan yang salah dalam pandangan masyarakat.  Ini memberi tanggapan kepada remaja bahawa tabiat merokok adalah sesuatu yang baik dan menjadikan naluri ingin mencuba semakin tinggi dalam diri mereka. Rokok mudah dibeli dan dibawa serta boleh didapati di mana-mana kedai atau kios tanpa mengira tempat.

Amalan merokok boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan. Sejak belakangan ini budaya merokok dalam kalangan pelajar sekolah semakin serius Budaya negatif ini membimbangkan ibu bapa dan masyarakat kerana amalan ini akan menjejaskan kesihatan diri pelajar berkenaan dan membawa pelbagai kesan sosial sampingan. Oleh itu, langkah-langkah yang efektif perlu diambil dengan segera untuk menangani budaya merokok dalam kalangan pelajar sekolah agar tidak menjadi barah masyarakat.


Langkah yang paling berkesan untuk menangani budaya merokok dalam kalangan pelajar ialah kesedaran diri pelajar terbabit. Pelajar terbabit perlu disedarkan bahawa amalan merokok akan memudaratkan kesihatan diri mereka. Pelajar yang terdedah kepada pengetahuan akan bahaya rokok akan mengelakkan diri daripada merokok. Pelajar perlu sedar bahawa amalan merokok boleh mendedahkan diri mereka kepada penyakit barah paru-paru, pankreas, kanser mulut dan gusi dan lain-lain kesan sampingan terhadap kesihatan. Jelaslah bahawa kesedaran diri untuk “tak nak” merokok amat berkesan untuk menangani budaya sia-sia yang mengundang malapetaka kepada diri sendiri ini.

Langkah kedua untuk menangani budaya merokok dalam kalangan pelajar ialah melalui peranan ibu bapa. Ibu bapa dapat memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak mereka untuk mengelakkan anak-anak mereka merokok. Ibu bapa juga hendaklah mengelakkan diri daripada merokok kerana amalan ini akan dicontohi oleh anak-anak mereka seperti bapa borek anak rintik. Sebagai contoh, ibu bapa mestilah memastikan wang belanja yang diberikan kepada anak-anak digunakan untuk membeli makanan atau keperluan yang sepatutnya dan bukannya untuk membeli rokok. Tegasnya, ibu bapa berperanan penting untuk mengawal dan mengelakkan anak-anak mereka daripada menjadi perokok. 

Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan untuk mengelakkan pelajar daripada mengamalkan budaya merokok. Sekolah sering mengadakan kempen kesedaran bahaya merokok dan ceramah serta pameran tentang bahaya rokok kepada pelajar Pihak sekolah juga sentiasa mengenakan hukuman berat dan tindakan yang tegas sekiranya terdapat pelajar yang merokok . Sebagai contoh, pelajar yang ditangkap kerana merokok akan didenda atau diberikan rawatan lanjutan untuk menghentikan amalan berisiko tinggi kepada kesihatan ini. 

Konklusinya, kesedaran diri akan bahaya merokok, peranan ibu bapa dan peranan pihak sekolah amat berkesan dalam usaha membendung budaya merokok dalam kalangan pelajar. Semua pihak mestilah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menangani isu merokok dalam kalangan pelajar kerana pelajar hari ini aset negara yang sangat berharga untuk memajukan negara pada masa depan.   Semoga hasrat negara untuk melahirkan remaja yang cergas dan berfikiran positif akan dapat direalisasikan sepenuhnya menjelang tahun 2020. Jalanilah hidup sihat tanpa rokok dan katakan “tak nak” merokok.

Rujukan :
Anggaran Penduduk Mengikut Kumpulan Umur dan Jantina Malaysia 2010-2020, Jabatan Perangkaan Malaysia

Bronfenbrenner, U., & Morris, P. A. (1998). The ecology of developmental processes. Global Youth Tobacco Survey (GYTS) Malaysia 2009

http://www.ismaweb.net/2016/08/penjara-denda-jika-jual-rokok-kepada-remaja-bawah-18-tahun

No comments:

Post a Comment